Monday, March 14, 2011

Tsunami Telan 10,000 Orang d Miyagi




TAGAJO: Jumlah kematian akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun mungkin menjangkau 10,000 orang di satu negeri saja.

Seorang pegawai berkata demikian ketika jutaan penduduk negara itu berdepan dengan masalah ketiadaan air, bekalan elektrik dan makanan sempurna di bandar sepanjang pantai timur laut negara itu.

Ketua Polis Miyagi, memberitahu pegawai bantuan, beliau menganggarkan lebih 10,000 penduduk negeri itu terbunuh, kata jurucakap polis, Go Sugawara.
Penduduk Miyagi berjumlah 10,000 orang dan antara tiga negeri paling teruk terjejas akibat bencana itu yang melanda Jumaat lalu.

Bagaimanapun, setakat ini, angka rasmi kematian di negeri itu hanya 379 orang.

Krisis nuklear mencetuskan ancaman baru bagi mereka yang terselamat daripada gempa bumi dan tsunami.
“Mulanya saya bimbang mengenai gempa. Kini, radiasi pula. Saya tinggal tidak jauh dari loji itu. Kerana itu saya datang ke sini untuk menjalani pemeriksaan sama ada saya selamat. Hasil pemeriksaan menunjukkan saya negatif. Saya tidak tahu apa nak lakukan selepas ini,” kata Kenji Koshiba, seorang pekerja binaan di sebuah pusat kecemasan di bandar Koriyama, bandar berhampiran loji nuklear di Fukushima.

Menurut pegawai, sekurang-kurangnya 1,200 orang terbunuh, termasuk 200 yang mayat mereka ditemui di sepanjang pantai, dan 739 hilang, dalam bencana itu.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan berkata, sebuah helikopter tentera menyelamatkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang terapung di laut di atas bumbung rumahnya selepas dihanyutkan oleh tsunami.

Pusat Kaji Ukur Geologi Amerika Syarikat sebelum ini berkata, gempa itu berukuran 8.9 magnitud tetapi pegawai Jepun menaikkan anggaran mereka kepada 9.0.

Namun, kedua-duanya adalah gempa paling kuat pernah dicatatkan di Jepun.
Gempa itu disusuli dengan lebih 150 gegaran kuat selepas gempa.

Pasukan penyelamat mencari mangsa di sepanjang ratusan kilometer pantai Jepun.

Sementara itu, ratusan ribu penduduk yang kelaparan bersesak-sesak dalam kegelapan di pusat kecemasan yang terputus hubungan daripada penyelamat dan bantuan.

Sekurang-kurangnya 1.4 juta keluarga terputus bekalan air sejak gempa itu melanda dan kira-kira 2.5 juta rumah terputus bekalan elektrik.

Suhu pada sebelah malam dilapor jatuh ke paras hampir beku.

Menteri Perdagangan, Banri Kaeda berkata, wilayah berkenaan mungkin berdepan dengan masalah bekalan elektrik lebih teruk dan bekalan tenaga akan dicatu bagi memastikan bekalan cukup untuk keperluan penting saja.

Sejumlah besar kawasan di luar bandar masih ditenggelami air dan tidak boleh dijejaki oleh kumpulan penyelamat.

Stesen televisyen NHK melaporkan, kira-kira 380,000 orang dipindahkan ke pusat kecemasan yang kebanyakannya tidak mempunyai bekalan elektrik. - AP

No comments:

Blog via Fesbuk